Kes-kes pembuangan bayi bukanlah sesuatu yang asing didengari dan berlaku dalam masyarakat Malaysia malah di merata tempat. Bagi masyarakat kian membangun ini, membuanag bayi adalah satu cara paling mudah dilakukan oleh pasangan yang melakukan penzinaan dan hamil. Menurut kes ini, perempuan yang telah dipersalahkan dan terpaksa menanggung beban atas pembuatan penzinaan tersebut.
Tujuan saya memilih tajuk ini adalah untuk membincangkan secara lebih mendalam tentang punca-punca, kesan-kesan dan langkah-langkah mengatasi pembuangan bayi ini. Dalam blog ini, matlamat saya bertujuan untuk menyedarkan bahawa pembuangan bayi ini adalah satu kesalahan jenayah yang amat berat dan haram di sisi islam kerana bayi merupakan rezeki yang Allah s.w.t turunkan kepada kita sebagai cahaya mata dalam kehidupan.Namun sebaliknya, kita membuang bayi tersebut dan tidak bersyukur atas nikmat Allah s.w.t yang diberikan kepada kita. Pembuanagn bayi sama maksudnya kita membunuh manusia yang tidak bersalah atas penzinaan yang telah kita lakui.Persoalannya, apakah punca yang telah menyebabkan masalah gejala pembuangan bayi ini semakin meningkat?
Tidak dapat dinafikan lagi bahawa kekurangan didikan agama merupakan punca utama dalam masalah pembuangan bayi ini. Biasanya golongan remaja yang kurang didikan agama merupakan golongan yang paling banyak menyumbang kepada masalah ini.Tambahan pula,remaja yang kurang didikan agama akan menyebabkan mereka tiada mempunyai perasaan tentang sikap bertanggungjawab dan akhirnya sanggup mengorbankan anak yang baru dilahirkan. Selain itu,didikan agama dalam sahsiah remaja amat penting kerana dapat mengawal sebarang tingkah laku mereka.Dengan adanya didikan agama, maka remaja akan bertindak secara rasional sebelum melakukan sesuatu malah mereka akan dapat membezakan sama ada perbuatan itu adalah baik atau buruk. Oleh itu, semua pihak perlulah bersikap menjaga tepi kain orang di sekeliling dan mengambil berat tentang isu ini supaya negara kita tidak dianggap sebagai masyarakat yang lemah dari segi agama.
Di samping itu,kepincangan institusi kekeluargaan juga menjadi punca dalam masalah ini. Sikap ibu bapa yang terlalu materalistik sehingga mengabaikan anak-anak telah menyebabkan anak-anak mereka berasa kurang kasih sayang dan perhatian daripada ibu bapa mereka.Ibu bapa tidak harus bersikap bagai enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing dalam mengejar kemewahan harta malah mereka perlu lebih prihatinkan keadaan anak-anak. Mereka harus meluangkan masa pada setiap hari untuk berkomunikasi dengan anak-anak agar mereka tidak kehilangan tempat untuk mengadu.Selain itu,ruang kebebasan yang diberikan terlalu banyak boleh membuka ruang kepada anak-anak terpengaruh dengan pelbagai gejala sosial di luar rumah. Jadi, ibu bapa memainkan peranan penting dalam mengatasi gejala pembuangan bayi yang berpunca daripada anak-anak sendiri.
Sesungguhnya, tiada penyakit yang tiada penawarnya. Oleh yang demikian, langkah yang drastik dan efisien perlulah diambil untuk mengatasi masalah gejala ini daripada semakin meningkat. Langkah yang utama hendaklah diambil oleh ibu bapa. Pendidikan agama dan moral harus dititikberatkan oleh ibu bapa untuk menyedarkan anak-anak tentang dosa dan pahala. Oleh itu, didikan keagamaan hendaklah dididik dalam jiwa mereka pada setiap masa sebagai panduan yang berguna agar mereka tidak hidup bertuhankan nafsu. Umumnya, anak-anak ibarat kain putih. Ibu bapalah yang mencorakkan mereka. Memandangkan ibu bapa merupakan orang yang paling hampir dengan anak-anak, setiap perlakuan mereka akan mempengaruhi anak-anak mereka. Selain itu, ibu bapa juga hendaklah menjadi suri teladan kepada anak-anak kerana bapa borek anak rintik. Ibu bapa mestilah memberi didikan agama yang sempurna kepada anak-anak seawal dan sentiasa mengawasi pergaulan anak-anak mereka. Hal ini demikian kerana hendak mengelakkan mereka daripada terjebak dengan pergaulan bebas yang seterusnya boleh membawa mereka terjerumus ke lembah penzinaa.
Kesimpulannya, masalah pembuangan bayi tidak seharusnya dipandang remeh. Dalam hal ini semua pihak haruslah memberikan komitmen yang sepenuhnya. Kita tidak seharusnya meletakkan tanggungjawab ini kepada satu pihak sahaja sebaliknya kita hendaklah berganding bahu bagai aur dengan tebing bagi membenteras masalah ini persis mutiara kata, “bukit sama didaki, lurah sama dituruni”. Dengan adanya kerjasama yang utuh seikat bagai serai, serumpun bagai sirih, pasti masalah ini akan dapat ditangani dari akar umbinya sekali gus misi Wawasan Perdana 2057 mampu direalisasikan mengikut landasan yang betul.Walaupun mereka anak-anak luar nikah mereka juga ada hak untuk hidup dimuka bumi ini.